MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
IRSYAD BAGI MENZIARAHI MAQAM
- Setiap muslim yang menziarah kubur atau maqam orang-orang soleh diingatkan untuk menjaga adab dan peraturan semasa ziarah.
- Menziarah kubur pada sisi agama adalah bertujuan untuk bermuhasabah diri akan kematian dan kehidupan di alam barzakh kelak.
- Menziarahi kubur juga dapat mengenangkan sifat kebaikan pemilik kubur/maqam yang boleh dijadikan tauladan.
- Ketika menziarahi kubur/maqam, beberapa panduan agama dan adab perlu dipelihara. Seperti berikut:
- Pelawat hendaklah berpakaian sempurna dan menutup aurat.
- Ketika sampai ditanah perkuburan, disunatkan memberi salam secara umum kepada ahli kubur, sepertimana doa yang diajar Nabi s.a.w.:
Yang bermaksud: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kubur, dari kalangan orang-orang mukminin dan muslimin, mudah-mudahan Allah merahmati orang-orang yang terdahulu. Dan kami Insya Allah akan menyusul kamu, kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan untuk kamu.” [Hadith riwayat Muslim].
-
- Pelawat boleh memanfaatkan masa ziarah dengan membaca bacaan yang dianjurkan oleh para ulama semasa menziarahi/melawat kubur.
- Dilarang berjalan atau melangkah atas kuburan, atau duduk di atas kuburan orang lain.
- Dilarang menangis dengan terisak-isak dan meraung-raung pada tahap suara yang tinggi melanggar batasan adab di kubur.
- Dilarang bercakap-cakap dengan kuat, menjerit-menjerit, bertengkar atau bergaduh di kawasan perkuburan.
- Setiap Muslim perlu menyedari bahawa setiap jenazah di perkuburan/maqam itu adalah makhluk biasa dan hamba Allah. Oleh itu, kita tidak boleh mengamalkan sesuatu amalan yang tiada asasnya sama sekali dalam agama atau menyerupai apa sahaja bentuk persembahan selain kepada Allah s.w.t. Di antara amalan khurafat yang tidak dibenarkan sama sekali adalah:
- Tawaf mengelilingi kubur; mengusap-usap dan mengambil tanah kubur dengan niat sujud menyembah kubur.
- Sebarang bentuk pemujaan, atau permintaan semata-mata diarahkan kepada penghuni kubur dan bukan kepada Allah s.w.t.
- Sebarang bentuk persembahan yang menurun atau bacaan jampi serapah di kawasan perkuburan yang tiada asas atau bertentangan dengan agama.
- Membawa makanan, minuman, bunga-bungaan untuk tujuan pemujaan atau memberi habuan kepada roh si mati.
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
Disember 2019